JITRA: Dua individu ditemukan rentung selepas sebuah kereta jenis Honda Civic terbakar di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.05 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Beliau memaklumkan, sepasukan tujuh anggota dari BBP Jitra bersama lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya dikerahkan bagi mengawal kebakaran.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah kereta di lokasi kejadian.
“Komander Operasi melaporkan, setibanya di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic dan api sedang marak.
“Anggaran kemusnahan adalah sebanyak 85 peratus dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua mangsa rentung di dalam kereta terbabit.
“Bagaimanapun, jantina atau identiti dua mangsa rentung itu belum dikenal pasti setakat ini,” katanya.
Menurut Noor Azhar, api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.23 pagi sebelum kerja-kerja pemotongan kenderaan dilakukan bagi mengeluarkan mangsa.
Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan lanjut.








