Dua Suspek Kes Bunuh Penuntut Universiti Swasta Didakwa Hari Ini

PETALING JAYA: Dua individu yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya akhir bulan lalu, tiba di Kompleks Mahkamah Sepang pagi ini bagi menghadapi pertuduhan.

Memetik berita tempatan, suspek lelaki berbaju T putih dan wanita berbaju hitam tiba pada jam 8.55 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka dijangka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kehadiran kedua-dua suspek diiringi kawalan ketat polis dan mereka dilihat bergari ketika dibawa masuk ke mahkamah, bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penuntut wanita universiti swasta ditemui mati dalam bilik asramanya di Cyberjaya, dipercayai dibunuh.

Mangsa, pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Maniishapriet Kaur Akhara, 20, berasal dari Sarawak, ditemui tidak bernyawa di unit kondominiumnya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi, 24 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini berkata, suspek utama dipercayai pernah beberapa kali bermalam di kondominium tersebut bersama teman wanitanya, yang juga rakan serumah mangsa.

Siasatan mendapati rakan serumah mangsa telah menyerahkan kad akses dan kunci rumah kepada suspek utama sebelum kejadian berlaku. Tiga individu yang disyaki terlibat telah direman sejak 27 Jun dan tempoh reman dilanjutkan hingga hari ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat