JOHOR BAHRU: Tindakan tegas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri membuahkan hasil apabila dua wanita warganegara Filipina ditahan dalam satu operasi kutip di AEON Mall Tebrau City pada Isnin.
Jabatan Pendafataran Negara dalam satu hantaran di Facebook berkata, kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 53 tahun bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah tersebut.
“Mereka ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka menggunakan kad pengenalan palsu,” katanya.
Operasi bersepadu itu dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Khas (BSK) JPN Putrajaya bersama BSK JPN Johor.
Selepas ditahan, kedua-dua wanita berkenaan dibawa ke JPN Johor dan diserahkan kepada BSK JPN Johor untuk siasatan lanjut.
Mereka disyaki melanggar Peraturan 25(1)(e) PPN 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPN dalam menangani isu penyalahgunaan kad pengenalan dalam kalangan warga asing.
“Orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras isu penyalahgunaan dokumen pengenalan diri ini,” kata JPN.








