SEORANG pengguna media sosial meluahkan rasa kesal apabila lokasi ikonik Saloma Bridge kini didakwa ‘dikuasai’ sekumpulan individu yang menawarkan perkhidmatan mengambil gambar secara tidak rasmi hingga mengganggu pengunjung lain.
Pengguna yang dikenali sebagai @turis.sesat mendakwa kumpulan itu memonopoli kawasan strategik bagi mengambil gambar dan tidak memberi ruang kepada pelancong lain, termasuk pelancong asing.
“Aku pergi Saloma Bridge nak ambil gambar dan video untuk promosi Visit Malaysia 2026 tapi spoil sebab geng-geng ni dah ‘conquer’ tempat tu. Pelancong luar pun kecewa sebab tak dapat ambil gambar,” katanya menerusi satu hantaran yang tular di Threads pada Isnin.
Beliau turut mendakwa kumpulan itu hanya membenarkan orang ramai mengambil gambar jika menggunakan khidmat mereka, sekali gus mencemarkan imej lokasi pelancongan utama di ibu negara.
Netizen lain turut menyuarakan kebimbangan bahawa situasi itu boleh menjejaskan imej Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 jika tidak ditangani segera oleh pihak berkuasa.
“Mohon kerajaan letak polis pelancong atau anggota DBKL di kawasan depan KLCC dan Saloma Bridge. Jangan biar mereka rosakkan industri pelancongan,” tulisnya lagi.
Selain itu, beliau mencadangkan agar papan tanda larangan disediakan dan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap individu yang menjalankan aktiviti komersial tanpa lesen di kawasan tumpuan awam.
Saloma Bridge yang menghubungkan Kampung Baru dan Menara Berkembar Petronas menjadi antara lokasi wajib dikunjungi pelancong, terutama selepas tular sebagai mercu tanda ikonik Kuala Lumpur. Namun, isu penguasaan ruang awam oleh pihak tidak bertanggungjawab bukan perkara baharu dan sering menjadi perhatian netizen.
Baca juga: