PENYANYI Aina Abdul mengakui pernah berasa dirinya tidak lagi diterima peminat selepas kemunculannya di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) menerima pelbagai kecaman.
Menurut Aina, selama beberapa bulan, tekanan dan rasa kurang keyakinan mengganggu emosinya hingga membuatkan dia membawa diri ke luar negara bagi mendapatkan semula inspirasi dan semangat dalam dunia seni.
“Saya tak sangka orang boleh komen baik tentang saya. Sejak AJL39, saya rasa macam ramai dah tak suka saya. Ia betul-betul ganggu fikiran saya.
“Saya ke negara seberang untuk cari semula semangat, supaya saya boleh teruskan minat dalam muzik. Bila fikir balik, mungkin kesedihan sebelum ini bukan sia-sia. Lama-lama, orang akan terima saya dengan hati dan niat yang jujur,” katanya, dipetik Mstar.
Dalam masa sama, penyanyi Kamu itu turut berkongsi keterujaan apabila persembahan duetnya bersama Melly Goeslaw menerusi lagu Cinta pada konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite menerima pujian ramai.
Namun, Aina menolak gelaran ‘penyelamat konsert’, sebaliknya menegaskan tumpuan wajar diberikan kepada Melly yang tetap tampil profesional meskipun sedang berdepan masalah kesihatan.
“Saya idolakan Melly. Ramai tak tahu, selama dua hingga tiga hari sebelum konsert, dia bertarung dengan masalah kesihatan. Saya sendiri nampak keadaannya di belakang pentas.
“Tak adil kalau saya raikan pujian yang orang beri, seolah-olah saya pentingkan diri. Melly tetap beri yang terbaik walaupun tidak sihat,” jelasnya.
Terdahulu, konsert Melly pada 31 Mei lalu menerima pelbagai reaksi susulan nyanyiannya dikatakan tidak menepati jangkaan, namun kemunculan Aina dianggap berjaya menyelamatkan suasana persembahan.
Aina kini bersedia untuk kembali aktif dengan menjadi salah seorang juri tetap dalam program nyanyian Raise The Star, yang bakal bersiaran mulai 22 Jun, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria.
Baca juga: