‘Dulu Sekongkol Dengan Penindasan, Kini Bicara Kebebasan?’ Soal Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pihak yang mengkritik peranan kerajaan dalam isu badan kehakiman dengan menyatakan bahawa mereka tidak memahami sejarah negara.

“Sebab itu, kadang-kadang apabila dibincangkan tentang badan kehakiman sekarang, saya anggap ada yang langsung tidak memahami sejarah.

“Orang-orang yang pernah bersekongkol dengan segala penindasan dan kezaliman dahulu, kini mahu berbicara tentang kebebasan,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Kenyataan ini dipercayai merujuk kepada kritikan berkaitan pelantikan hakim menerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang menjadi perhatian susulan skandal melibatkan peguam VK Lingam pada 2007.

Dalam perkembangan lain, Anwar menekankan keperluan undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI), demi melindungi hak cipta golongan seniman dan penggiat industri kreatif.

“Perlindungan ini perlu merangkumi kartunis, pembikin filem, penyair serta semua pencipta karya seni yang sering terkesan dengan sistem yang mengekang daya cipta,” katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital menggubal perundangan agar Malaysia tidak hanya mengikut acuan luar sehingga mengorbankan jati diri dan nilai budaya tempatan.

Selain itu, Anwar menyeru agar generasi muda dilatih dalam bidang AI dengan pendekatan yang selari dengan nilai agama, budaya dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat