PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan perkara itu dalam sidang media khas di Menara Kinabalu petang Isnin.
Beliau berkata, permohonan pembubaran itu telah diperkenankan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, pagi Isnin.
“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun Musa, DUN Sabah Ke-16 dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin, 6 Oktober 2025,” katanya.
Menurut Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), langkah itu memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan hak demokrasi mereka dalam menentukan kepimpinan negeri.
Katanya, beliau akan kekal memegang jawatan Ketua Menteri sehingga proses pilihan raya disempurnakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hajiji menjelaskan, keputusan pembubaran itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip demokrasi dan perlembagaan.
“Dengan mandat baharu nanti, kami berhasrat meneruskan usaha memperkukuh ekonomi, menyelesaikan isu bekalan air, elektrik serta infrastruktur kritikal agar Sabah terus maju, makmur dan bersatu,” katanya.