TIANJIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pentas Sidang Kemuncak Shanghai Cooperation Organisation (SCO) Plus 2025 di Tianjin untuk menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan sistem multilateral dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam menangani isu global dan kemanusiaan.
Menurut Anwar, PBB tidak lagi dilihat berupaya melakukan pembaharuan, malah aspirasi yang dilaungkan sering bercanggah dengan realiti di lapangan.
“Antara aspirasi dan realiti terdapat jurang. Ini membimbangkan kerana telah menimbulkan ketidaksamarataan serta kekejaman yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Anwar menyatakan sokongan Malaysia terhadap Global Governance Initiative yang diperkenalkan Presiden China Xi Jinping dengan menegaskan perlunya dunia beralih kepada multilateralisme berasaskan keadilan, belas kasihan, undang-undang serta tindakan praktikal.
Beliau turut mengangkat inspirasi falsafah Asia khususnya jalan sederhana Chung Yung oleh Confucius sebagai asas kepada kerjasama global yang lebih berimbang.
Kutuk Kekejaman Gaza
Dalam ucapan yang menyentuh isu kemanusiaan, Anwar menegaskan masyarakat antarabangsa gagal menangani kekejaman yang sedang berlaku di Gaza dan Palestin.
“Ramai rakan-rakan saya telah menyebut tentang kekejaman di depan mata kita di Gaza dan Palestin – pembunuhan bayi dan kanak-kanak dengan sewenang-wenangnya.
“Bukan sahaja di Gaza, ia turut memberi kesan kepada Lubnan, Iran dan Iraq,” katanya.
Beliau mengecam sikap berdiam diri kuasa dunia terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku dengan menyifatkan ia sebagai bukti jelas kegagalan sistem antarabangsa.