Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan duti setem ke atas kontrak pekerjaan sehingga Akta Setem 1949 dikaji semula.
Ia berikutan kebimbangan yang disuarakan usahawan PMKS Bumiputera.
Menurut kenyataan DPMM hari ini, penguatkuasaan Rangka Kerja Audit Duti Setem oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak 1 Januari 2025 menimbulkan keresahan di kalangan peniaga.
“DPMM menganggap penguatkuasaan Rangka Kerja Audit Setem yang antara lain menggariskan hak dan tanggungjawab pegawai audit dan pembayar duti, jenis audit, tempoh liputan audit duti setem dan kadar penalti sebagai satu tindakan tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh atau mendengar keluhan golongan peniaga,” kata kenyataan itu.
DPMM juga menyuarakan kebimbangan bahawa duti setem ini, bersama beberapa dasar lain seperti rasionalisasi subsidi petrol, kenaikan gaji minimum, sistem taksiran kendiri 2026, pelaksanaan e-invois dan MBRS 2.0 berpotensi meningkatkan sentimen negatif terhadap gagasan Ekonomi Madani.
“Beban kos dan pematuhan meningkat, menambah tekanan kepada golongan peniaga,” ujar DPMM, merujuk kepada cabaran yang dihadapi PMKS Bumiputera.
Meskipun menyokong pendekatan LHDN dalam mendidik peniaga mengenai pematuhan, DPMM berkata, proses ini perlu melibatkan persatuan perniagaan sejak awal dan bukan sekadar pengumuman arahan semata-mata.
DPMM turut berkata, berdasarkan pengalamannya dalam kempen e-invois dan GST terdahulu, ramai peniaga enggan mendaftar kerana kurangnya pemahaman, kebimbangan mengenai kos operasi serta ketidakjelasan mekanisme penalti dan pengampunan.
“Sebagai contoh, kegagalan mengecop kontrak pekerjaan dalam tempoh 30 hari dikenakan penalti RM100, atau 20 peratus daripada duti yang kurang sekiranya disetem selepas tiga bulan,” kata DPMM.
DPMM juga menyatakan bahawa kontrak pekerjaan di bawah Akta Pekerjaan 1955 tidak lagi memerlukan penyeteman untuk penyelesaian pertikaian, berdasarkan keputusan mahkamah yang menyatakan bahawa kekurangan duti setem tidak menjejaskan kesahihan perjanjian.
Selain itu, katanya, pengecualian duti setem bagi penerima gaji RM300 ke bawah dianggap sudah lapuk dan tidak mencerminkan realiti pasaran buruh masa kini.
“Ambang gaji yang lebih tinggi perlu disepakati agar sejajar dengan keadaan semasa,” tambahnya.
DPMM berharap dapat berbincang dengan LHDN dan Kementerian Kewangan bagi menangani kebimbangan peniaga Bumiputera dan mendapatkan pencerahan lebih terperinci mengenai dasar ini.
“Kami ingin memastikan tatakelola pengurusan syarikat tidak disalah tafsir sebagai langkah kerajaan untuk memaksimumkan kutipan hasil,” katanya, sambil menyuarakan pandangan bersama dengan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) bahawa tempoh pendedahan lebih panjang perlu diperuntukkan.
DPMM juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan program pendidikan dan pendedahan di setiap negeri dan wilayah bagi memastikan pemahaman dan penerimaan lebih meluas.