E-Dagang Catat RM937.5 Bilion, Pacu Pertumbuhan Ekonomi Digital Malaysia – DOSM

PUTRAJAYA: Ekonomi digital Malaysia terus mencatat momentum positif apabila pendapatan e-dagang bagi tiga suku pertama 2025 mencecah RM937.5 bilion, meningkat 1.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Laporan Ekonomi Digital Malaysia 2025 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, suku kedua 2025 merekodkan pendapatan tertinggi berjumlah RM313.8 bilion, sebelum sedikit menyederhana kepada RM312.6 bilion pada suku ketiga.

“E-dagang terus menjadi pemangkin kepada aktiviti perniagaan dan daya saing negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, prestasi sektor digital turut kekal kukuh melalui Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) 2024, yang menunjukkan sumbangan 23.4 peratus kepada ekonomi negara bernilai RM451.3 bilion, meningkat daripada RM429.3 bilion pada 2023.

Peningkatan itu katanya, didorong oleh sektor Pembuatan TMK, Perkhidmatan TMK, Perdagangan TMK serta Kandungan dan Media.

Pendapatan e-dagang 2023 yang direkodkan dalam laporan penggunaan ICT turut menunjukkan peningkatan kepada RM1.18 trilion, diterajui sektor Pembuatan dan Perkhidmatan.

“Pendigitalan menjadi pemangkin inovasi dan ketahanan perniagaan,” katanya.

Tambah Mohd Uzir, ‘Business-to-Business’ (B2B) kekal dominan dengan nilai RM817.1 bilion, manakala transaksi ‘Business-to-Consumer’ (B2C) dan ‘Business-to-Government’ (B2G) masing-masing mencatat pertumbuhan kepada RM336.6 bilion dan RM30.4 bilion.

Pendapatan e-dagang domestik turut meningkat kepada RM1.05 trilion.

Perbelanjaan e-dagang pula meningkat kepada RM571.4 bilion, dengan B2B kekal sebagai komponen terbesar.

Penggunaan sistem perolehan digital dan e-pembayaran terus memperkukuh pertumbuhan transaksi B2C dan B2G.

Laporan turut menunjukkan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam kalangan perniagaan apabila 96.6 peratus menggunakan komputer dan 94 peratus mempunyai akses internet.

Bagi isi rumah, penggunaan internet mencapai 96.8 peratus, manakala pemilikan telefon bimbit kekal hampir menyeluruh.

Kemajuan pesat infrastruktur digital turut menyokong perkembangan ekonomi digital negara dengan liputan 4G pada kadar 98.8 peratus dan 5G pada 82.4 peratus.

Malaysia juga mencapai pencapaian global apabila menduduki tempat pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, naik daripada tangga ke-67 sebelumnya.

Anda Mungkin Berminat