PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam proses kelulusan visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara.
Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Razali Abd Malik dalam satu kenyataan berkata, pas lawatan sosial kategori visa perubatan didapati dikeluarkan tanpa mematuhi prosedur ditetapkan termasuk dokumen permohonan yang tidak lengkap serta melanggar garis panduan.
“Siasatan Pasukan Petugas Khas mendapati bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa oleh pegawai Imigresen yang meluluskan visa perubatan kepada warga asing dari beberapa negara.
“Walaupun menyedari bahawa dokumen permohonan yang dikemukakan adalah tidak lengkap dan tidak mematuhi ketetapan dalam Pekeliling Imigresen Malaysia Bil. 10/2001,” katanya.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas EAIC telah menjalankan siasatan menyeluruh yang meliputi semakan tatacara kelulusan, pengambilan keterangan saksi, penyitaan dokumen berkaitan dan penyediaan syor lanjut.
Berikutan hasil siasatan, EAIC memutuskan untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara selaras dengan Perenggan 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), dengan cadangan agar pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pegawai terlibat.