EAIC cadang tindakan tatatertib terhadap 27 anggota imigresen berhibur di pusat hiburan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap 27 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas didapati melanggar arahan perkhidmatan apabila berhibur di pusat hiburan Mansion 9, Kuala Lumpur tahun lalu.

EAIC berkata siasatan dijalankan mengikut Akta 700 susulan pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 26 April 2024 yang mendapati kesemua anggota berkenaan berada di premis berisiko tinggi tanpa kebenaran.

“Pegawai dan anggota terbabit didapati melanggar surat arahan bertarikh 18 November 2019 yang melarang mereka memasuki pusat hiburan, rumah urut dan premis perjudian kerana boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap organisasi.

“Selain itu, beberapa anggota yang terlibat turut didapati mengabaikan jadual penugasan apabila berada di pusat hiburan tersebut meskipun mempunyai arahan tugas pada masa kejadian.

“EAIC turut menemukan ketidakpatuhan terhadap SOP siasatan tatatertib oleh pihak JIM, termasuk kelemahan dokumentasi dan tindakan susulan terhadap insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Susulan itu, EAIC merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPA dan JIM dengan syor hukuman di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 atas kesalahan cuai tugas, ingkar perintah dan berkelakuan yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan.

Antara syor lain termasuk arahan pertukaran kepada anggota yang telah terlalu lama berkhidmat di lokasi sama, pemantauan jadual tugas yang lebih ketat serta memastikan semua pembayaran di pusat hiburan dibuat bagi mengelakkan dakwaan rasuah.

Kes ini menjadi perhatian selepas pemeriksaan JSJN di Mansion 9 mendedahkan kehadiran puluhan anggota Imigresen, mencetuskan persoalan mengenai integriti dan kepatuhan mereka terhadap arahan operasi dalaman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat