EAIC Syor Penambahbaikan Menyeluruh Selepas Siasatan Kematian Klien Di PUSPEN Batu Kurau

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan telah menyiapkan siasatan berhubung kematian seorang klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Batu Kurau, Perak, yang berlaku pada 14 Mac lalu.

Dalam kenyataan pada Jumaat, EAIC memaklumkan bahawa siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), selepas kes tersebut dirujuk kepada suruhanjaya untuk tindakan lanjut.

Menurut EAIC, Unit Integriti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai dan kakitangan yang terlibat berdasarkan prosedur dalaman agensi.

“EAIC telah merujuk penemuan siasatan ini kepada Ketua Jabatan AADK bersama beberapa cadangan penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan penambahbaikan itu meliputi keperluan memperkemas prosedur kemasukan klien serta pengurusan kesihatan termasuk aspek rawatan dan pemberian ubat seperti yang digariskan dalam Perintah Tetap Ketua Pengarah AADK.

EAIC turut mengesyorkan agar naziran menyeluruh dilaksanakan ke atas semua pusat PUSPEN bagi memastikan pematuhan SOP serta mengenal pasti isu pelaksanaan di peringkat operasi.

Selain itu katanya, latihan dan kursus penyegaran yang lebih komprehensif kepada semua kakitangan PUSPEN turut dicadangkan, merangkumi tatacara perkhidmatan, operasi, dasar dan garis panduan agensi.

Untuk info, siasatan ini dijalankan susulan aduan kematian seorang klien yang sedang menjalani rawatan di PUSPEN Batu Kurau.

AADK ketika ini mengurus lebih 60 pusat pemulihan di seluruh negara, manakala EAIC berperanan memastikan integriti serta pematuhan prosedur dalam kalangan agensi penguat kuasa.

Anda Mungkin Berminat