EAIC Syor Tindakan Tatatertib Isu Pelupusan Haram Bukit Pelandok

PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menegaskan aduan kegagalan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil tindakan adalah tidak tepat, kerana pengarah syarikat terlibat telah didakwa.

Menurut EAIC, siasatan melibatkan JAS Putrajaya dan JAS Negeri Sembilan berhubung kes pelupusan bahan terjadual secara haram di Bukit Pelandok.

“Siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 selepas menerima aduan berkaitan kegagalan tindakan, penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam siasatan kes berkenaan.

“Namun begitu, siasatan mendapati seorang pegawai pengurusan tertinggi JAS Ibu Pejabat Putrajaya ingkar arahan serta mempunyai hubungan dengan pihak berkepentingan sehingga menimbulkan percanggahan kepentingan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

EAIC turut mendapati beberapa pegawai JAS Negeri Sembilan tidak mematuhi arahan, menyalahgunakan kedudukan, membenarkan campur tangan pihak luar serta terlibat dalam pendedahan maklumat sulit.

Selain itu, beberapa pegawai di JAS Ibu Pejabat Putrajaya dan JAS Negeri Sembilan gagal mematuhi keperluan pengisytiharan harta seperti yang ditetapkan.

Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terlibat, termasuk merujuk kes kepada Ketua Setiausaha Negara, Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam, Pihak Berkuasa Tatatertib JAS serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

EAIC juga mengesyorkan pertukaran pegawai terlibat sementara menunggu keputusan tatatertib serta mencadangkan surat penghargaan diberikan kepada Pasukan Siasatan JAS Negeri Sembilan yang berjaya menyelesaikan siasatan dalam tempoh kurang lapan bulan, selaras prosedur operasi ditetapkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat