ECRL Jadi Simbol Persahabatan Malaysia–China, Anwar Tegas Kepentingan Persiapan Operasi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC), Song Hailiang bersama delegasi syarikat tersebut.

Pertemuan itu berlangsung pada waktu penting bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurut Anwar, perbincangan menumpukan kepada sokongan CCCC terhadap dasar-dasar kerajaan, selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Turut disentuh ialah kemajuan semasa projek ECRL serta kepentingan memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual dan memberi limpahan pembangunan ekonomi kepada industri serta kawasan yang terlibat.

Beliau berkata, semua pihak berkepentingan perlu membuat persiapan rapi bagi fasa operasi projek mega ini.

“ECRL bukan sekadar projek infrastruktur rel, malah merupakan inisiatif strategik negara serta simbol kerjasama dan persahabatan Malaysia–China, yang diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab jaringan dan logistik serantau di Asia Tenggara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Projek ECRL yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang dilihat sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, selain memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia–China.

Dengan sokongan berterusan daripada CCCC, kerajaan yakin projek itu akan menjadi mercu tanda baharu dalam landskap pengangkutan dan logistik negara.

Anda Mungkin Berminat