ECRL selesai kerja korek 38 terowong lebih awal dari jadual

PETALING JAYA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kejayaan besar apabila menyiapkan kerja-kerja pengorekan bagi 38 terowong setakat ini, lebih awal daripada jadual.

MRL dalam kenyataannya berkata, terbaharu, penembusan ‘Terowong Serendah 1’ sepanjang 3.50 km berjaya disempurnakan pada 7 April 2025, dua bulan lebih awal daripada jadual asal.

“Penembusan terowong ke-37 turut dicapai sehari sebelumnya pada 6 April 2025 bagi ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ sepanjang 189 meter.

“Ini menjadikan keseluruhan 38 terowong telah ditembusi, daripada jumlah 41 terowong dalam projek ECRL,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, tiga terowong yang masih dalam proses pengorekan ialah ‘Terowong Berkembar Genting’ (16.39 km) dan ‘Terowong Serendah 2’ (9.85 km).

Manakala, terowong Berkembar Genting kini berada pada fasa akhir dan dijangka siap pertengahan tahun 2025, manakala Terowong Serendah 2 dijangka siap pada suku ketiga 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata kerja-kerja pengorekan yang lancar di ‘Terowong Serendah 1’ dan ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ adalah hasil daripada usaha cemerlang dan komitmen pasukan Projek ECRL masing-masing di Seksyen 8 dan Seksyen 9, serta penggunaan teknologi pengorekan terowong yang maju dan amalan pembinaan yang selamat.

“Kami mencatatkan satu pencapaian penting dengan pengorekan ‘Terowong Serendah 1’ sepanjang 3.50 km yang merupakan elemen utama dalam jajaran ECRL yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor. Sebanyak 512,582 meter padu tanah dan batuan telah dikeluarkan dengan selamat, dengan pergerakan tanah yang minimum serta gangguan yang minimal kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pengorekan menggunakan kaedah gerudi dan letup,” tambahnya.

Beliau menambah bahawa ‘Terowong Rawang-Bestari Jaya’ telah di selesaikan menggunakan kaedah “benching” untuk memudahkan laluan pintasan bagi jajaran ECRL, tanpa perlu melintasi jalan utama sepanjang Jalan Rawang-Bestari Jaya.

Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Deng Bo, menyatakan bahawa pihaknya akan terus fokus mengekalkan momentum pembinaan dengan komitmen tinggi terhadap keselamatan dan kualiti.

Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka siap Disember 2026 dan beroperasi mulai Januari 2027.

Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula siap Disember 2027 dan dijangka mula operasi Januari 2028.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat