Eda Ezrin Dibebaskan selepas 9 Bulan di Penjara Narathiwat

PETALING JAYA: Penyanyi dikir barat moden, Eda Ezrin, dibebaskan hari ini selepas hampir sembilan bulan ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand, susulan keputusan mahkamah yang mendapati tiada bukti kukuh mengaitkannya dengan pemilikan dadah.

Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, ditahan sejak November tahun lalu bersama lima individu lain selepas pihak berkuasa Thailand menemui 6,059 pil methamphetamine di sebuah bilik hotel di Sungai Kolok.

Menurut laporan media tempatan, Mahkamah Wilayah Narathiwat mendapati dadah terbabit dibawa masuk oleh tiga individu lain yang tidak termasuk dalam kalangan tertuduh, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Eda dan lima yang lain bersalah atas penggunaan dadah dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda 4,000 baht (kira-kira RM520) setiap seorang.

Hukuman itu dianggap dilunaskan berikutan mereka menjalani tempoh tahanan sejak penahanan dan menunjukkan tingkah laku baik sepanjang berada di penjara.

Lima individu lain yang turut dibebaskan ialah suami Eda, Mohd Affendi Ahmad, 35; Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26.

Eda yang pernah mencuri tumpuan dalam dunia muzik tradisional Kelantan menyatakan hasrat untuk kembali berkarya dan berharap peminat akan terus memberi sokongan terhadap dirinya selepas pembebasan.

“Saya ingin terus berkarya. Doakan saya dan terima kasih kepada semua yang mendoakan sepanjang tempoh saya diuji,” katanya ringkas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat