FILEM animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), terus mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya meraih kutipan RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan sejak mula ditayangkan di pawagam.
Jumlah itu sekali gus memecahkan rekod kutipan filem Ejen Ali yang pertama pada tahun 2019 dan menjadikan EATM2 sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam tempoh paling singkat.
Kejayaan luar biasa itu turut menyaksikan EATM2 mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan pada Mei lalu seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch.
Setakat ini, lebih dua juta penonton dilaporkan membanjiri pawagam bagi menyaksikan kisah terbaharu ejen perisikan remaja itu yang diterbitkan oleh WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS).
Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation merangkap pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan sambutan penonton sebagai satu penghargaan besar buat pasukan produksi.
“Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sahaja untuk membawa animasi Malaysia bersaing setaraf dengan naskhah antarabangsa,” katanya, dipetik.

Tambah beliau, sambutan positif di pawagam memberi semangat untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali ke peringkat lebih tinggi.
“Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali,” katanya.
Dalam filem ini, Ali dipilih menyertai program elit SATRIA yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), namun misi tersebut menjadi lebih rumit apabila Rizwan memohon bantuannya menjejak dalang di sebalik siri ancaman terhadap keselamatan Cyberaya.
Kehadiran semula Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali, turut menambah tekanan. Dalam dunia penuh muslihat dan bahaya, setiap keputusan Ali bakal menentukan nasib seluruh kota Cyberaya.
Baca juga: