Ejen Haram Imigresen Dicekup, Sembilan Pasport Warga Asing Dirampas

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan kegiatan seorang ejen haram yang menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen secara tidak sah, dalam satu operasi khas yang dijalankan di sekitar Putrajaya pada 7 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 4.10 petang itu adalah hasil risikan selama dua minggu oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan ditahan bersama beberapa barangan termasuk sembilan pasport warga India, satu telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Honda CRV yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hasil siasatan mendapati suspek menawarkan perkhidmatan pengurusan dokumen imigresen seperti Pas Khas dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dengan menyasarkan warga India yang menetap di sekitar Lembah Klang.

Perkhidmatan tersebut ditawarkan tanpa sebarang kebenaran daripada Jabatan Imigresen atau kuasa mewakili mana-mana majikan.

“Suspek mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM1,500 bagi setiap urusan tanpa sebarang kebenaran daripada Jabatan Imigresen atau kuasa mewakili mana-mana majikan,” katanya.

Lebih mengejutkan, semakan awal mendapati suspek pernah ditangkap atas kesalahan sama pada tahun lalu dan telah dikenakan hukuman.

Namun Zakaria berkata, kegiatan tersebut dilihat berulang, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penyalahgunaan sistem imigresen oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Seorang lagi lelaki warga tempatan turut dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat