Ekonomi bayangan digital, banyak ‘lari’ dari cukai – Pakar

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Perkembangan ekonomi digital, termasuk penggunaan mata wang kripto dan transaksi dalam talian, dikenal pasti sebagai cabaran terbesar kepada usaha kerajaan membanteras aktiviti ekonomi bayangan dan pengelakan cukai.

Menurut Pedagang Profesional Bertauliah, Ashraf Arsyad, ekonomi bayangan merujuk kepada aktiviti ekonomi yang dijalankan secara tersembunyi tanpa rekod rasmi bagi mengelakkan pembayaran cukai atau tindakan agensi penguatkuasaan.

Ekonomi bayangan ini wujud apabila seseorang sengaja tidak mahu ada rekod transaksi. Tiada pendaftaran perniagaan, tiada caruman EPF, tiada transaksi bank, semuanya dilakukan secara ‘off record’ untuk elak cukai dan pemantauan pihak berkuasa,” katanya dalam podcast TaxEdu bertajuk Lari Cukai Satu Jenayah.

Untuk rekod, podcast tersebut diterbitkan oleh agensi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia.

Beliau menjelaskan, secara umum ekonomi bayangan terbahagi kepada dua bentuk, iaitu cara tradisional, cara moden atau digital, namun bentuk digital kini dilihat lebih membimbangkan.

Menurut Ashraf, ekonomi bayangan tradisional lazimnya melibatkan perniagaan sah yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tunai.

“Contohnya peniaga yang menjalankan perniagaan makanan secara sah, tetapi semua transaksi dibuat secara tunai.

“Misalnya pembayaran gaji dibuat secara tangan ke tangan tanpa rekod, tiada pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tiada penyata cukai. Perniagaan itu ‘legal’, tetapi cara operasinya digunakan untuk mengelak cukai,” katanya lagi.

Beliau berkata, terdapat juga aktiviti tidak sah yang menggunakan kaedah sama, iaitu transaksi tunai sepenuhnya, bagi mengelak pengesanan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Namun begitu, Ashraf menegaskan bahawa ekonomi bayangan dalam bentuk digital kini jauh lebih besar dan kompleks berbanding kaedah tradisional.

Yang paling merisaukan sekarang ialah ekonomi bayangan digital, di mana semua transaksi dijalankan secara dalam talian dan menggunakan mata wang digital. Ia sukar dikesan kerana tidak melibatkan sistem kewangan tradisional.

Aktiviti seperti kerja bebas (freelance), bayaran perkhidmatan menggunakan kripto, pendapatan daripada aplikasi digital, perlombongan kripto dan transaksi pelaburan boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi bayangan sekiranya tidak dilaporkan,” ujarnya.

Ashraf menekankan bahawa mata wang kripto itu sendiri bukanlah salah atau haram, namun penggunaannya dalam perniagaan tanpa pelaporan cukai boleh membawa kepada pelanggaran undang-undang.

“Kripto bukan ekonomi bayangan. Ia sama seperti saham. Tetapi apabila kripto digunakan untuk bayar gaji, terima bayaran perkhidmatan atau jana pendapatan tanpa dilaporkan, di situlah bermulanya ekonomi bayangan,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kawasan kelabu (grey area) dalam percukaian di Malaysia yang menyebabkan ramai pemain industri, termasuk yang beroperasi secara sah, mengambil kesempatan.

Di Malaysia, isu sama ada keuntungan daripada trading dan kripto dikenakan cukai atau tidak masih kabur. Keadaan ini menyebabkan ada yang sengaja memilih laluan ‘tak kena cukai’ walaupun sebenarnya mereka sudah layak dikenakan cukai.

“Ramai individu terlibat dalam aktiviti pelaburan dan perdagangan digital tanpa sedar bahawa pendapatan mereka sudah mencapai tahap yang memerlukan pelaporan cukai.

“Ada yang hanya sedar bila disiasat atau dikenakan semakan. Waktu itu barulah timbul masalah kerana perlu jelaskan semula transaksi yang lepas,” katanya.

Beliau membandingkan situasi di Malaysia dengan negara lain yang telah menetapkan garis panduan jelas.

“Di banyak negara, keuntungan daripada apa-apa bentuk pelaburan selain saham pun dikenakan cukai pendapatan. Kalau untung, bayar cukai. Ia sudah menjadi standard global,” katanya.

Sehubungan itu, Ashraf menegaskan keperluan garis panduan yang lebih jelas dan pendidikan kewangan yang berterusan agar pemain industri digital tidak terjerumus ke dalam ekonomi bayangan secara tidak sengaja.

“Tanpa kesedaran dan panduan yang jelas, ramai akan terus berada dalam ekonomi bayangan, sama ada secara sedar atau tidak,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat