Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sistem kewangan Islam tidak boleh hanya bergantung kepada tawaran pembiayaan bebas riba semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai satu alternatif menyeluruh kepada sistem konvensional.
Beliau berkata ekonomi Islam perlu berasaskan nilai-nilai kemanusian, keadilan dan ihsan yang menjadi batu pasak penting dalam menstrukturkan semula sistem ekonomi negara-negara Islam.
“Ekonomi Islam mesti tampil sebagai alternatif tuntas kepada sistem konvensional, dengan berteraskan nilai manusiawi, keadilan dan ihsan,” kongsinya lagi.
Kata beliau, jurang antara kaya dan miskin, isu kemiskinan tegar serta isu keadilan sosial hanya boleh ditangani sekiranya ekonomi dibina di atas tata kelola yang baik.
“Kesenjangan antara kaya dan miskin, masalah kemiskinan tegar dan isu keadilan sosial hanya boleh ditangani sekiranya sistem ekonomi dibina atas asas tatakelola yang baik serta dasar yang jelas dan progresif.
“Nilai ihsan hanya akan terserlah apabila negara-negara Islam benar-benar komited terhadap reformasi institusi dan kemajuan rakyat,” ujar beliau.
Anwar turut menekankan, Kerangka Ekonomi Madani merupakan penzahiran nilai-nilai luhur yang merupakan satu solusi atau jalan dalam memartabatkan lagi darjat, harkat rakyat serta negara.
Kerangka Ekonomi MADANI merupakan penzahiran nilai-nilai luhur ini, yakni satu ikhtiar untuk mengangkat darjat dan harkat rakyat serta negara.
“Untuk muncul sebagai alternatif yang benar-benar berdaya saing, sistem ekonomi Islam harus tampil bukan sekadar berbeza, bahkan lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan berbanding sistem konvensional yang kerap menguntungkan segelintir dan mengabaikan nilai ihsan serta kesaksamaan,” tegasnya.