Ekonomi Jingga, Biru Jadi Fokus Utama Mesyuarat MTEN 2026

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 1 Tahun 2026 pada Khamis memberi tumpuan kepada dua agenda besar negara iaitu pengukuhan Ekonomi Jingga (industri kreatif) dan pembangunan Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, industri kreatif negara berdepan pelbagai cabaran termasuk tadbir urus, pembangunan bakat, infrastruktur, pembiayaan serta perlindungan harta intelek.

“Justeru, mesyuarat bersetuju keperluan menstruktur semula ekosistem industri ini agar lebih berdaya saing, mampan dan mampu menembusi pasaran global dan Kementerian Komunikasi akan merangka Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang baharu bagi menggantikan DIKN 2009,” katanya.

Dalam masa sama, mesyuarat turut menekankan kepentingan memanfaatkan sumber laut, kawasan pesisir dan perairan daratan secara bertanggungjawab.

“Ke arah itu, Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia akan diwujudkan bagi memacu pendekatan bersepadu yang mengimbangi pembangunan ekonomi, kesaksamaan sosial serta kemampanan alam sekitar dalam ekosistem ekonomi biru negara,” kata beliau.

Anda Mungkin Berminat