Ekonomi MADANI sasar 60 peratus wanita bekerja


Oleh: Dr Noraisah Yusop

ULASAN | Sejak merdeka, wanita Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Namun, pengiktirafan yang lebih menyeluruh terhadap sumbangan mereka hanya bermula sekitar Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) melalui Dasar Wanita Negara (1989), ratifikasi Konvensyen CEDAW (1995), serta pelbagai pelan tindakan pemerkasaan.

Walaupun dasar demi dasar diperkenalkan, jurang penyertaan masih jelas, terutama bagi wanita luar bandar dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal.

Di Sabah dan Sarawak, cabaran ini lebih ketara kerana kebanyakan penduduk masih tinggal di luar bandar. Kadar penyertaan tenaga kerja wanita juga lebih rendah berbanding Semenanjung – hanya 52 peratus di Sabah dan 54 peratus di Sarawak, berbanding purata nasional 56–57 peratus pada 2023 (DOSM, 2023).

Dalam negara-negara ASEAN, Malaysia berada di belakang Vietnam (70 peratus) dan Thailand (66 peratus), tetapi lebih tinggi daripada Filipina (47 peratus) (ADB, 2023).

Untuk mencapai sasaran 60 peratus penyertaan menjelang 2030 di bawah RMK13, lonjakan baharu amat diperlukan.

Tambahan pula, rantau ASEAN menunjukkan potensi ekonomi yang besar, dengan pertumbuhan pesat dalam bidang ekonomi biru dan ekonomi jingga. Kedua-duanya menawarkan peluang luas yang boleh dimanfaatkan Malaysia, khususnya melalui kekuatan sumber dan warisan unik Sabah serta Sarawak.

Ekonomi biru merujuk kepada penggunaan sumber laut dan pesisir secara lestari, merangkumi perikanan, ekopelancongan, bioteknologi marin, serta tenaga boleh diperbaharui. Sabah menyumbang hampir 30 peratus hasil perikanan laut negara manakala rumpai laut Semporna menjadikan negeri itu pengeluar utama akuakultur.

Sarawak pula berpotensi dalam perikanan pesisir, udang, serta ekopelancongan sungai. Wanita di kedua-dua negeri boleh melangkah lebih jauh daripada sekadar tenaga sokongan. Mereka berupaya mengusahakan pemprosesan hasil laut, memasarkan produk makanan premium secara digital, atau menanam rumpai laut untuk kosmetik dan kesihatan, suatu industri yang berkembang di pasaran antarabangsa.

Jika laut menjadi aset utama ekonomi biru, budaya pula ialah nadi ekonomi jingga. Sabah dan Sarawak terkenal dengan kraftangan dan warisan etnik masing-masing. Industri kraf tempatan sahaja bernilai lebih RM500 juta setahun, dengan wanita sebagai tenaga utama penghasilan.

Sarawak turut menganjurkan Rainforest World Music Festival (RWMF) yang menarik lebih pelancong antarabangsa setiap tahun, sekali gus menjana pendapatan pelancongan yang signifikan. Festival budaya seperti Kaamatan dan Gawai juga berpotensi diperkasa sebagai acara kreatif berskala serantau, menghubungkan seni tari, muzik dan gastronomi tempatan dengan pasaran global.

Namun, penglibatan ini tidak akan tercapai tanpa dasar sokongan yang kukuh. Bagi memperkasa wanita, kerajaan melancarkan Program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) yang menyasarkan 150,000 pelajar wanita mendaftar TVET menjelang 2026. JELITA dilihat membuka peluang kepada wanita untuk menguasai kemahiran dalam bidang seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, teknologi agro, reka bentuk fesyen, seni kreatif dan industri halal.

Program ini turut menjalinkan kerjasama dengan 74 rakan strategik, termasuk Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), bagi memastikan latihan sejajar dengan keperluan industri. JELITA juga menyediakan sokongan selepas kursus bagi membantu wanita menembusi pasaran kerja, sekali gus menangani isu diskriminasi jantina, jurang gaji dan cabaran memasuki sektor yang didominasi lelaki.

Dalam era digital, potensi wanita Sabah dan Sarawak semakin meluas. Malaysia menyasarkan industri kreatif digital menyumbang RM31.9 bilion kepada KDNK menjelang 2025.

Jika digerakkan dengan tuntas, wanita luar bandar Borneo bukan sahaja mampu mengurangkan jurang gender dan wilayah, tetapi juga mengangkat Malaysia sebagai negara inklusif dan berdaya saing di pentas ASEAN dan global.

*** Penulis adalah Felo Penyelidik Pascadoktoral di International Institute of Public Policy and Management (INPUMA) Universiti Malaya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat