Ekonomi Malaysia Dijangka Kekal Stabil, Meski Berdepan Ketidaktentuan Global – DOSM

PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka terus kekal di fasa penyederhanaan, meskipun berdepan cabaran daripada ketidaktentuan ekonomi global.

Laporan DOSM mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia untuk Februari 2025 menggariskan beberapa perubahan signifikan termasuk prestasi Indeks Pelopor (IP) yang memberikan gambaran awal arah aliran ekonomi.

Menurutnya, IP mencatatkan 112.4 mata, penurunan kecil sebanyak 0.004 mata berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laporan itu juga, penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan ketara dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan yang merosot sebanyak 34.5 peratus dan import logam bukan ferus yang mengalami penurunan sebanyak 21.5 peratus.

“Namun begitu, secara bulanan, IP hanya menyusut sebanyak 0.2 peratus, penurunan yang lebih sederhana berbanding Januari 2025, yang mencatatkan penyusutan sebanyak 1.1 peratus.

“Sebaliknya, kenaikan import semikonduktor sebanyak 0.5 peratus menjadi faktor utama menyokong prestasi IP pada bulan tersebut,” menurut DOSM.

Selain itu, Indeks Serentak (IS) yang menunjukkan keadaan ekonomi semasa, melonjak sebanyak 2.0 peratus kepada 144.8 mata berbanding 124.7 mata pada Februari tahun lalu.

Justeru, peningkatan itu disumbangkan oleh kenaikan dalam semua komponen IS terutamanya kapasiti penggunaan pembuatan yang meningkat sebanyak 2.3 peratus.

“Indeks Difusi turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif.

“IP mencatatkan peningkatan kepada 28.6 peratus pada Februari, berbanding 14.3 peratus pada Januari, manakala IS melonjak kepada 66.7 peratus daripada 50.0 peratus,” katanya.

DOSM juga menyatakan bahawa walaupun trend jangka panjang IP kekal di bawah paras 100 mata, asas ekonomi Malaysia yang kukuh dijangka terus menyokong pertumbuhan sederhana dalam tempoh terdekat.

Anda Mungkin Berminat