KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus berada pada landasan kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, dipacu peningkatan kukuh dalam pelaburan, eksport dan sektor perkilangan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, prestasi itu mencerminkan keberkesanan dasar strategik kementerian dalam merancakkan perdagangan, menarik pelaburan berkualiti serta mempercepat transformasi industri negara.
“Keyakinan pelabur kekal tinggi apabila pelaburan swasta berkembang 7.3 peratus, mencerminkan kejayaan pelaksanaan projek yang diluluskan serta usaha berterusan MITI menarik pelaburan berimpak tinggi.
“Pertumbuhan ini turut disokong oleh prestasi perdagangan yang kukuh dengan eksport meningkat 17.7 peratus, khususnya didorong sektor elektrik dan elektronik bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram, hari ini.
Menurutnya, kekuatan sektor perkilangan turut menjadi tunggak utama apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bagi September meningkat 5.7 peratus, menandakan aktiviti industri yang terus berkembang dan stabil.
MITI, kata Zafrul, akan terus memperkukuh agenda perindustrian negara menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan, berkualiti dan berupaya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
Baca juga:








