KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan ketahanan luar biasa apabila Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku keempat (S4) 2025 mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.7 peratus, melepasi unjuran median Bloomberg pada 5.4 peratus.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama dengan peningkatan 5.4 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang masih mantap.
MOF berkata, sektor pembuatan turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 6.0 peratus, manakala sektor pembinaan melonjak sehingga 11.9 peratus, selari dengan peningkatan pelaburan domestik dan asing di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.
MOF menegaskan bahawa pelaksanaan reformasi struktural oleh Kerajaan MADANI telah membantu mengekalkan kestabilan penggunaan domestik.
“Penstrukturan semula subsidi RON95 melalui BUDI MADANI RON95 yang dilaksanakan pada 27 September 2025 tidak mencetuskan tekanan inflasi, sekali gus memelihara kuasa beli rakyat,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Prestasi suku keempat yang mengatasi jangkaan ini mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi keseluruhan tahun dianggarkan sekitar 4.9 peratus, melepasi unjuran rasmi antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
Pencapaian itu sekali gus menegaskan kekuatan asas ekonomi negara yang terus kukuh di tengah cabaran global.








