PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan ketahanan apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025, didorong oleh penggunaan domestik dan pelaburan yang aktif meskipun berdepan permintaan luaran yang lemah.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa KDNK bagi suku ini turut meningkat sebanyak 2.1 peratus secara pelarasan musim, berbanding hanya 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini.
Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi kukuh dalam sektor Perkhidmatan, Pembuatan dan Pembinaan, selain kekuatan perbelanjaan pengguna serta pelaburan dalam projek pembinaan seperti pusat data.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan 5.1 peratus, dipacu oleh aktiviti perdagangan borong dan runcit, pengangkutan serta sektor makanan dan penginapan yang menerima lonjakan pelancong.
“Sektor pembuatan pula tumbuh sebanyak 3.7 peratus dengan sumbangan besar daripada produk pemprosesan makanan dan bahan berkaitan pembinaan.
“Sektor pembinaan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.1 peratus, mencerminkan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur dan projek teknologi,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, sektor pertanian turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.1 peratus, didorong oleh pengeluaran kelapa sawit yang tinggi.
Namun, katanya, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat penyusutan sebanyak 5.2 peratus berikutan pengeluaran gas asli dan minyak mentah yang rendah.
Mohd Uzir berkata, perbelanjaan domestik kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Walau bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa cabaran global seperti tarif perdagangan dan ketidakpastian politik masih memberi tekanan kepada prestasi keseluruhan.
Secara keseluruhan, Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 peratus bagi separuh pertama tahun 2025, sedikit rendah berbanding 5.0 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Statistik penuh KDNK boleh diakses melalui portal OpenDOSM NextGen di https://open.dosm.gov.my.