PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia kekal kukuh meskipun dunia masih bergelut dengan ketidaktentuan global dengan kadar pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus bagi separuh pertama tahun 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar turut mendedahkan bahawa kadar pengangguran negara telah menurun ke paras tiga peratus iaitu rekod terendah dalam tempoh sedekad.
“Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada tahun 2022 kepada 4.1 peratus daripada KDNK pada tahun 2024, satu pencapaian yang membuktikan komitmen terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan negara yang berhemah dan berdisiplin, selaras dengan semangat Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).
“Perkara ini saya tekankan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC).
“Ia sebuah platform penting dalam merangka dasar fiskal yang jelas dan menentukan hala tuju ekonomi negara,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, Kerajaan Madani perlu terus mencari keseimbangan antara mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan khususnya dalam persekitaran global yang tidak menentu.