Ekonomi Malaysia kukuh walau dunia bergolak, AI jadi pemangkin baharu – Gabenor BNM


KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan peningkatan risiko susulan konflik berterusan di Asia Barat, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan yang aktif serta prestasi eksport yang terus memberangsangkan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata momentum pertumbuhan negara masih utuh hasil sokongan penggunaan swasta, pelaksanaan projek pelaburan jangka panjang serta inisiatif pembangunan kerajaan.

“Momentum pertumbuhan kekal berterusan dipacu oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh. Pelaburan dan penggunaan juga masih berada pada tahap baik, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi baki tahun ini,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama pada Jumaat.

Menurut beliau, keadaan pasaran pekerjaan negara juga terus stabil dengan kadar pengangguran berada pada paras 2.9 peratus setakat Februari lalu, selain peningkatan gaji dan kesinambungan dasar kerajaan yang membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah.

Tambah beliau, pelaksanaan subsidi dan bantuan bersasar dijangka dapat mengurangkan kesan ketidaktentuan global terhadap kos sara hidup rakyat.

Dalam masa sama, Abdul Rasheed berkata permintaan global terhadap pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan turut menjadi pemacu utama pertumbuhan Malaysia pada suku pertama 2026 dan dijangka terus berkembang sehingga separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata projek pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus merekodkan kadar realisasi tinggi, manakala perbelanjaan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 dijangka menyokong aktiviti ekonomi negara.

Pada masa sama, sektor kewangan Malaysia disifatkan kekal kukuh dan mampu memastikan pembiayaan ekonomi terus berjalan walaupun berdepan tekanan semasa.

Mengulas unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2026, beliau berkata BNM telah mengambil kira pelbagai risiko termasuk kenaikan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pertumbuhan global akibat konflik Asia Barat.

“Julat unjuran kami lebih luas bagi mengambil kira risiko semasa dan faktor ketidaktentuan global,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui konflik tersebut mula memberi tekanan kepada harga apabila kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 1.4 peratus tahun sebelumnya.

Namun, katanya, pemindahan kos global kepada harga domestik masih terkawal hasil pelaksanaan subsidi, kawalan harga dan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pencatutan.

“Buat masa ini tekanan harga masih terkawal, namun kita perlu terus berwaspada dan memantau perkembangan semasa,” katanya.

Abdul Rasheed turut memaklumkan beberapa organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Pusat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengekalkan unjuran pertumbuhan Malaysia dalam lingkungan sasaran BNM.

Beliau memberi jaminan bahawa BNM akan terus memantau rapat perkembangan di Asia Barat serta menilai kesannya terhadap pertumbuhan dan inflasi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan kini memberi keutamaan memastikan bekalan bahan api domestik dan stok simpanan negara kekal mencukupi sekiranya berlaku gangguan bekalan global.

Menurutnya, Malaysia turut mendapat manfaat daripada rangkaian global dan keupayaan Petronas mendapatkan sumber minyak mentah dan bahan mentah daripada pelbagai pasaran antarabangsa sekiranya diperlukan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat