Ekonomi Malaysia Tumbuh Kukuh 5.2 Peratus Setahun Bagi Tempoh 2021 Hingga 2024 – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan kadar 5.2 peratus setahun bagi tempoh 2021 hingga 2024, sekali gus mengatasi prestasi global yang lebih perlahan dalam tempoh sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa pencapaian itu banyak disumbangkan oleh kekuatan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan, di samping permintaan domestik yang terus meningkat.

“Dalam tempoh tersebut, jumlah pelaburan yang diluluskan meningkat sebanyak 23.1 peratus setahun, mencecah RM1.29 trilion dengan rekod tertinggi dicatat pada tahun 2024 berjumlah RM384 bilion,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut memaklumkan bahawa kadar inflasi bagi Jun 2025 kekal terkawal pada 1.1 peratus, mencerminkan kestabilan harga dan keyakinan pengguna terhadap pasaran domestik.

Di samping itu, katanya, kedudukan fiskal negara menunjukkan perkembangan positif apabila defisit kerajaan berjaya dikurangkan kepada 4.1 peratus pada tahun 2024 berbanding 6.2 peratus pada tahun 2020.

“Komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal juga terserlah apabila jumlah hutang baharu dikurangkan kepada RM76.8 bilion pada 2024 daripada RM99.4 bilion pada 2022,” tambah beliau.

Menurut Anwar, ekonomi negara mula menunjukkan pemulihan sejak 2021 selepas tempoh sukar pandemik Covid-19, hasil pelaksanaan dasar pembaharuan ekonomi, projek strategik berskala besar dan usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Anda Mungkin Berminat