Ekonomi Malaysia Tunjuk Tanda Pemulihan, Kedudukan Global Meningkat – DOSM

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang stabil dengan beberapa petunjuk awal menunjukkan isyarat pemulihan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun Indeks Pelopor (IP) mencatatkan sedikit penyusutan kepada 114.3 mata pada Julai 2025 berbanding 114.9 mata tahun sebelumnya, prestasi bulanan menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan 0.5 peratus berbanding negatif 0.3 peratus pada bulan lalu.

“Pemulihan ini disokong oleh prestasi memberangsangkan lima daripada tujuh komponen khususnya Import Benar Semi Konduktor yang meningkat 0.5 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa prestasi sederhana itu mencerminkan ekonomi negara yang semakin stabil meskipun berdepan cabaran global.

“Indeks Pelopor kekal memberi isyarat awal kepada hala tuju ekonomi negara.

“Walaupun ada sedikit penyusutan berbanding tahun lalu, prestasi bulanan yang kembali positif adalah petanda baik,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, Indeks Serentak (IS), yang mengukur prestasi ekonomi semasa, turut mencatatkan pertumbuhan positif 2.2 peratus kepada 129.7 mata pada Julai 2025, berbanding 126.9 mata tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kenaikan 5.4 peratus dalam Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi penyumbang utama.

Tambahnya, prestasi bulanan IS juga mengukuh sebanyak 1.2 peratus, dipacu oleh peningkatan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian dan Nilai Caruman Benar KWSP, masing-masing sebanyak 0.3 peratus.

“Faktor domestik seperti penggunaan swasta dan pasaran buruh yang stabil akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh mendatang,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain katanya, Malaysia mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila buat pertama kalinya menduduki tempat pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.

Ini merupakan lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 pada 2022/23.

Malaysia juga akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15), sebagai usaha memperkukuh kerjasama serantau ke arah pembangunan mampan.

Anda Mungkin Berminat