PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala bersama Jerman dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama.
Bidang berkenaan mencakupi ekonomi, pendidikan dan kebudayaan sebagai pemacu kepada masa depan kerjasama strategik yang lebih utuh.
Perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer, dalam satu pertemuan rasmi, hari ini.
“Malaysia turut memberi penekanan terhadap kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berpotensi besar untuk dimanfaatkan bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, hubungan yang inklusif dan saling mempercayai itu diyakini mampu mempererat jalinan antara rakyat kedua-dua negara.
“Hubungan yang menyeluruh ini diyakini mampu mempererat hubungan rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada kemajuan bersama yang mampan,” katanya.
Untuk rekod, Jerman kekal sebagai antara rakan dagang terpenting Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.
Hubungan erat ini terbina melalui pelbagai bentuk kerjasama teknikal dan strategik yang telah lama terjalin.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas sumbangan aktif Dr Peter Blomeyer sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia yang telah membantu mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.