PETALING JAYA: Malaysia kini berada di landasan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan hasil kesungguhan Kerajaan MADANI melaksanakan reformasi berasaskan prinsip kebertanggungjawaban.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan pagi ini, berkata, kedudukan fiskal negara kini lebih stabil, sekali gus membuka ruang kepada usaha memperkasa kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Dengan pelaksanaan reformasi yang berani, kita bukan sahaja memperkukuh kedudukan kewangan negara tetapi juga memastikan kemakmuran dikongsi secara adil oleh semua lapisan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah baharu yang diumumkan semalam (Rabu) mencerminkan keikhlasan kerajaan dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang termasuk golongan B40 dan M40 yang sering terkesan oleh tekanan ekonomi.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter serta pengekalan kadar tol di 10 lebuh raya utama iaitu sebagai langkah yang diyakini dapat mengurangkan beban sara hidup secara langsung.
Menurut Anwar, pendekatan inklusif ini menjadi asas kepada dasar Kerajaan MADANI yang komited memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan keperluan rakyat terbanyak.
“Kerajaan MADANI komited untuk terus memperkenalkan dasar-dasar mesra rakyat yang tidak hanya merangsang pertumbuhan ekonomi tetapi juga memperkukuh asas sosial dan membina masa depan yang lebih sejahtera untuk semua,” jelas beliau.
Semalam, Perdana Menteri turut mengumumkan penghargaan khas kepada rakyat Malaysia sebagai langkah tambahan mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan umum.