‘Ekonomi Semakin Pulih, Tapi Rakyat Belum Rasai Kesan’ – Amir Hamzah

PETALING JAYA: Meskipun rakyat masih bergelut dengan kos hidup, indikator semasa menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan pemulihan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, banyak dasar yang digubal kerajaan belum sepenuhnya dirasai impaknya oleh rakyat terutama daripada segi penggajian.

“Rakyat nampak harga barang naik, tapi mereka belum rasa gaji naik. Tapi dari sudut data, ekonomi kita sedang bergerak.

“Tahun lalu, KDNK (GDP) tumbuh 5.1 peratus dan suku pertama tahun ini 4.4 peratus,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap.

Tambah beliau, pelaburan asing (FDI) yang diluluskan pada tahun 2024 mencecah RM380 bilion, manakala sektor pembinaan mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 21 peratus tahun lalu dan 15.1 peratus pada suku keempat tahun ini.

“Ini semua tanda aktiviti ekonomi sedang rancak.

“Kadar pengangguran juga rendah, hanya sekitar 3 peratus,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Amir Hamzah turut menepis tanggapan bahawa tiada sebarang peningkatan gaji berlaku.

Katanya, berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman pekerja telah meningkat lebih 15.1 peratus pada suku pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kalau caruman naik, itu bermakna gaji pun naik.

“Jadi saya tanya balik, betul ke tiada peningkatan gaji?” soalnya.

Sebagai langkah ke hadapan, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 34 syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) telah menyatakan komitmen membayar gaji sara hidup dan sembilan daripadanya telah melaksanakan gaji minimum RM3,100.

Anda Mungkin Berminat