KUALA TERENGGANU: Kementerian Ekonomi telah mempersembahkan satu pelan strategik untuk merancakkan pembangunan ekonomi Terengganu, menerusi pertemuan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli dengan Sultan Terengganu Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dalam sesi tersebut, Rafizi menggariskan beberapa inisiatif utama yang dijangka memberi impak besar kepada sosioekonomi negeri itu.
“Sebagai satu-satunya ahli Jemaah Menteri yang berasal dari Terengganu, saya merasakan tanggungjawab yang besar untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat Terengganu,” katanya.

Dalam konteks tersebut, beliau membentangkan perancangan utama Kementeriannya yang meliputi pelbagai aspek pembangunan strategik.
Antara perancangan utama yang diketengahkan adalah pembangunan industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Kerteh.
Rafizi berkata, industri CCUS adalah sebagai pemangkin kepada kemasukan pelaburan dalam industri berat ke Terengganu merupakan langkah strategik bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri itu.
Di samping itu, pembangunan industri hijau yang melibatkan Tasik Kenyir dan Kerteh akan memperkukuhkan agenda peralihan tenaga.
“Ia selaras dengan perancangan peralihan tenaga, tiga daripada projek bertaraf nasional di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) adalah di Terengganu,” katanya.
Pada masa yang sama, Industri pelancongan turut diberi perhatian dengan fokus kepada pelaburan sektor swasta.
Rafizi berkata, pembangunan industri pelancongan di Terengganu akan membantu menjadikan negeri berkenaan sebagai destinasi utama pelancongan di Malaysia.
Tambah beliau, ia dijangka akan membawa manfaat ekonomi yang besar serta meningkatkan profil Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama.
Selain itu, katanya, terdapat juga usaha untuk menjadikan Terengganu sebagai salah satu daripada bakul makanan utama negara serta memacu pembangunan industri marin.
“Dengan bimbingan dan nasihat DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, kami yakin bahawa perancangan ini akan dapat dijayakan dan kebajikan rakyat Terengganu akan terus terpelihara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rafizi mengucapkan terima kasih dan penghormatan kepada Sultan Mizan Zainal Abidin dan berharap agar semua inisiatif yang dikemukakan akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat Terengganu di masa hadapan.
Tambah Rafizi, dengan perancangan yang komprehensif, Terengganu dijangka akan mengalami transformasi ekonomi yang signifikan, memperkukuhkan kedudukannya dalam peta ekonomi negara serta meningkatkan taraf hidup rakyat negeri itu.
Baca juga: