PETALING JAYA: Langkah Kerajaan Madani mensyaratkan pengendali platform media sosial di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar memohon lesen merupakan langkah terbaik bagi menangani jenayah penipuan atas talian.
Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, perlesenan itu merupakan langkah ke arah akauntabiliti yang lebih baik.
Tegasnya, penguatkuasaan berhubung lesen itu adalah perkara yang dekat di hati beliau.
“… kerana ia telah membantu ramai mangsa penipuan dan hal itu adalah masalah yang sangat meluas serta perlu ditangani segera,” katanya.

Menurut data yang diperolehinya, jumlah kerugian di bawah kiraan #ScamVictimSupport telah melebihi RM10 juta.
“… malah ada mangsa yang masih trauma bertahun-tahun selepas ditipu.
“Secara ringkas, kami memerlukan platform untuk mengambil lebih banyak akauntabiliti dan tanggungjawab bagi meningkatkan keselamatan dalam dunia digital.
“Adalah sesuatu yang baik untuk melihat penyertaan daripada WeChat, Telegram, TikTok dan Meta dalam inisiatif ini,” katanya.

Untuk memastikan perkara ini lebih menyeluruh, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Keadilan menggesa Google untuk turut terlibat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar terlibat dalam proses perlesenan ini.
Menurutnya lagi, berikutan langkah kerajaan ini, beliau optimis dasar baharu ini memberi impak yang positif kepada masyarakat.
Beliau juga yakin bahawa langkah penguatkuasaan perlesenan ini tidak menjejaskan hak kebebasan bersuara rakyat.
Untuk rekod, Berkuat kuasa 1 Januari lalu, pengendali platform dengan jumlah pengguna lebih lapan juta orang perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) untuk beroperasi di negara ini.
Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.
Baca juga: