Ekosistem Industri Kreatif Lebih Teratur, Profesional – FINAS

PETALING JAYA: Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh tadbir urus industri kreatif negara.

RUU yang dibentangkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu menandakan komitmen kerajaan untuk memperkemas kawal selia, meningkatkan perlindungan kepada pekerja industri perfileman serta memastikan FINAS kekal relevan dalam landskap kreatif yang semakin pesat berubah.

FINAS dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pindaan itu menyelaras Akta FINAS 1981 dengan keperluan semasa termasuk pembangunan kandungan digital, teknologi over-the-top (OTT) dan peningkatan produksi tempatan.

“Ia juga memastikan dasar serta peraturan subsidiari FINAS lebih responsif bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor kreatif negara,” katanya.

Menurut kerajaan, penyedia platform video-on-demand (VOD) masih dikecualikan daripada pelesenan, namun aktiviti produksi dan pengedaran filem di platform digital kekal tertakluk di bawah FINAS.

“Pindaan ini bukan untuk menyekat kreativiti tetapi memastikan ekosistem produksi yang lebih selamat, teratur dan profesional,” kata FINAS.

Melalui pindaan tersebut, FINAS akan memperincikan perlindungan yang lebih menyeluruh termasuk kebajikan kru, kontrak standard, jaminan pembayaran, insurans pekerja dan keselamatan set penggambaran.

Sejak ditubuhkan pada 1981, FINAS berfungsi sebagai agensi peneraju pembangunan industri perfileman negara. Pindaan kali ini dianggap sebagai usaha menyeluruh untuk memodenkan peranan agensi tersebut selari dengan perubahan teknologi, pasaran dan keperluan industri kreatif yang semakin kompleks.

Anda Mungkin Berminat