KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah baharu apabila nilai eksport negara melonjak ke paras tertinggi pada Oktober 2025, sekali gus menegaskan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam perdagangan global.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, jumlah perdagangan keseluruhan meningkat 13.6 peratus kepada RM277.65 bilion, manakala eksport melonjak 15.7 peratus tahun ke tahun kepada RM148.32 bilion.
“Eksport RM148.32 bilion pada Oktober 2025 adalah pencapaian tertinggi dalam sejarah negara dan ini membuktikan daya saing serta ketahanan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut beliau, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada prestasi itu dengan permintaan kukuh terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta produk optik dan saintifik.
Katanya, kedua-dua sektor itu mencatat nilai eksport tertinggi setakat ini, sekali gus menjadi pemacu utama kepada lonjakan perdagangan negara.
“Permintaan kukuh terhadap barangan elektrik dan elektronik, serta produk optik dan saintifik, menjadi pemacu utama prestasi perdagangan kita meskipun keadaan ekonomi global masih tidak menentu,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia terus mengekalkan rekod lebihan dagangan selama 66 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, satu lagi indikator kekuatan sektor perdagangan negara.
Beliau turut menegaskan komitmen Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memperkasa syarikat tempatan agar lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.
“Kami di MITI dan MATRADE akan terus menyokong syarikat tempatan memanfaatkan 18 FTA yang dimiliki Malaysia termasuk CEPA Malaysia–UAE bagi memastikan negara terus mengukuhkan kedudukan di pasaran antarabangsa,” katanya.








