El Nino: Agong nasihat rakyat ambil langkah berjaga-jaga

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Dalam hantaran di Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada panas serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas dan pastikan pengambilan air mencukupi bagi menjaga kesihatan,” titah baginda pada Khamis.

Sultan Ibrahim turut menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia memberi perhatian serius untuk memastikan kesihatan murid dan pelajar tidak terjejas, kerana cuaca panas dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun ini.

“Warga emas serta kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik juga dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda menegaskan peranan penting Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan, memandangkan cuaca panas berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran.

“Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan sebarang pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api,” titah baginda.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat