LANGKAWI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti agar mengekalkan semangat persaudaraan sepanjang tempoh pemilihan dan bukan meningkatkan ketegangan.
Beliau berkata, perbezaan pendapat tidak boleh mengetepikan jasa setiap individu dalam perjuangan parti.
“Kita jangan tambah, tingkatkan suhu kehangatan, kita leraikan dengan baik kerana apa pun kita berbeda pendapat dalam sesuatu perkara, kita tak boleh nafikan jasa khidmat yang tinggi oleh orang ini.
“Sebahagiannya lebih jauh pengorbanannya, lebih jauh kerjanya daripada kita,” katanya, seperti dipetik oleh media tempatan.
Walaupun persaingan sengit untuk jawatan utama, Anwar tetap yakin semua calon akan kembali bersatu selepas pemilihan selesai.
Beliau menyifatkan pertandingan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat dan mengingatkan anggota agar tidak menjatuhkan martabat sesiapa.
“Kalau kita lihat semua mereka, rekodnya baik tapi kalau kita tak pilih, janganlah rendahkan martabat orang lain, ini disebut adab dan akhlak dalam perjuangan,” katanya ketika merasmikan Pejabat PKR Cabang Langkawi pada Isnin.
Pertandingan kali ini menyaksikan pertembungan hebat antara penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Dengan sokongan besar daripada pemimpin cabang di seluruh negara dan pemilihan ini dijangka menjadi antara yang paling menarik dalam sejarah parti.