GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Malaysia Hindu Sangam Negeri Pulau Pinang menggesa semua penganut serta pengunjung Thaipusam mengamalkan konsep Sifar Sisa dengan mengelakkan pembaziran makanan, penggunaan plastik sekali guna dan pembuangan sampah merata-rata.
Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga pihak menegaskan bahawa nilai pengabdian, disiplin dan kesyukuran yang menjadi teras perayaan perlu diterjemahkan melalui amalan bertanggungjawab terhadap makanan, sumber dan alam sekitar.
“Pembaziran makanan, penggunaan plastik pakai buang serta pembuangan sampah merata-rata perlu dihentikan bagi memastikan kesucian perayaan terus terpelihara,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Menurut mereka, walaupun usaha NGO dan sukarelawan menyediakan makanan percuma melalui thanneer panthal dan annadanam amat terpuji, sejumlah besar makanan masih terbuang setiap tahun.
“Pihak yang mengagihkan makanan digesa mengurangkan saiz hidangan, mengagihkan hanya satu hidangan bagi setiap individu serta menambah bekalan mengikut keperluan supaya pembaziran dapat dielakkan,” katanya lagi.
Bagi mengurangkan sisa plastik, orang ramai digalakkan menggunakan pinggan, cawan dan peralatan makan boleh guna semula atau alternatif mesra alam seperti pinggan daun.
Selain itu, isu pembuangan sampah merata-rata turut diberi perhatian apabila sejumlah besar sisa sering ditinggalkan walaupun tong sampah disediakan, sekali gus menjejaskan kebersihan dan kesihatan awam.
“Pesalah yang membuang sampah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta khidmat masyarakat sehingga 12 jam, selaras dengan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu lagi.
Baca juga:








