Elak penyelewengan, Akta Pemegang Amanah dipinda

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN)  hari ini bersetuju meminda Akta bagi mengelakkan penyelewengan. 

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Ia hasil perbincangan JKKTN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. 

“… bersetuju dengan cadangan untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208]. 

“Pindaan-pindaan ini adalah bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.

“Pindaan ini bertujuan mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah,” kata kenyataan tersebut. 

Pindaan Akta 208 antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.

Pindaan Akta 258 antaranya melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan dan sumber dana serta memberi kuasa bagi meningkatkan pemantauan, pengesahan dan pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana.

“Perubahan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengurusan dana,” tambah kenyataan tersebut. 

Mesyuarat tersebut turut memberi perhatian kepada isu rasuah dalam perolehan kerajaan dan penyalahgunaan dana awam. 

“Isu ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi turut merosakkan kredibiliti tatakelola awam,” tegas kenyataan tersebut. 

Dalam pada itu, kerajaan turut menggalakkan syarikat gred G7 yang memiliki Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS).

Anda Mungkin Berminat