Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dalam usaha menjamin kelangsungan dan daya tahan industri penternakan serta makanan negara, kerajaan kini mengambil langkah lebih tuntas dalam mengurangkan kebergantungan terhadap import jagung bijian yang menjadi bahan asas utama dalam pengeluaran makanan ternakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan media berkata, hasil mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada baru-baru ini telah bersetuju secara prinsip untuk meneroka strategi yang lebih berkesan dan mampan dalam isu tersebut.
“Jagung bijian merupakan antara komoditi yang paling banyak diimport, terutama dari negara luar seperti Argentina dan Brazil, yang digunakan dalam pengeluaran makanan ternakan ayam, lembu dan ikan.
“Ketergantungan ini menjadikan rantaian bekalan negara mudah terdedah kepada risiko luar seperti perubahan iklim global, gangguan logistik dan turun naik harga pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurut Muhammad Sabu, hasil mesyuarat itu kerajaan telah bersetuju dengan pelarasan kadar insentif pembajakan daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim.
Manakala insentif baharu untuk penuaian bakal diberikan pada kadar RM50 per hektar per musim kepada pesawah.
“Pihak Kerajaan akan memastikan pembayaran insentif ini selesai sepenuhnya sebelum 31 Julai 2025,” ujarnya.
Jelas beliau, strategi baharu yang akan dirangka termasuklah memperluas kawasan penanaman jagung bijian tempatan, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti yang lebih sesuai dengan iklim Malaysia, serta membina ekosistem sokongan melibatkan pemain industri tempatan.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja dapat menjamin bekalan yang lebih stabil dan selamat, tetapi turut membuka peluang ekonomi baharu kepada petani dan pengusaha tempatan.
Ujar beliau, kerajaan optimis bahawa strategi ini akan memberi kesan positif dalam jangka panjang, sekaligus memperkukuh keterjaminan makanan negara secara keseluruhan.
Baca juga: