PETALING JAYA: Guru dan pembantu Tadika Islam (TADIS) Pulau Pinang bakal menerima kenaikan elaun bermula bulan ini, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan prasekolah Islam di negeri itu.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, elaun guru dinaikkan sebanyak RM400, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,400 sebulan, manakala pembantu tadika menerima kenaikan RM200, menjadikan elaun mereka RM1,000 sebulan.
Menurutnya lagi, kenaikan itu memberi manfaat kepada 40 guru dan 21 pembantu TADIS yang kini memberikan perkhidmatan kepada 874 murid di seluruh negeri.
“Kenaikan elaun ini merupakan sebahagian hasil daripada keputusan Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Bil. 1/2025 yang meluluskan penjenamaan semula Tadika Islam Mutiara MADANI (TIMM), dengan sasaran penubuhan 30 buah TIMM dalam tahun 2025,” katanya memetik laporan media tempatan.
Selain itu, katanya, MAINPP turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10.7 juta bagi tempoh 2025 hingga 2029 untuk memperkasa semula sistem TADIS yang telah beroperasi sejak 1998.
Dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru, Mohamad berkata, lima tempat setiap semester akan ditawarkan kepada guru TADIS untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma Pengajian Islam secara percuma di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) bermula Julai 2025.
“Semua kos ditanggung oleh MAINPP sebagai fasa pertama dan inisiatif ini selaras dengan tawaran yang kita berikan kepada guru KAFA sebelum ini,” jelasnya.
Mohamad, yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan dalam Teras Pembangunan Pendidikan di bawah Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).
“Kita mahu guru-guru TADIS bukan sahaja dihargai tetapi turut diperkasa dari aspek profesionalisme, sejajar dengan aspirasi pendidikan Islam negeri Pulau Pinang,” ujarnya.