Elemen ‘wow’ Belanjawan 2026 mungkin peningkatan bantuan tunai – Penganalisis

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 yang bakal dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa jam sahaja lagi, dijangka akan terus bertunjangkan kekuatan ekonomi domestik, pengurusan risiko perubahan iklim, bantuan bersasar kepada rakyat, serta peningkatan infrastruktur asas negara.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, walaupun isu kemanusiaan global seperti krisis di Gaza lebih mendapat perhatian pada baru-baru ini, namun realitinya kerajaan dijangka tetap akan disalurkan kepada agenda tempatan

“Kalau bercakap tentang krisis kemanusiaan seperti genosida di Gaza, saya tak rasa ia akan mengambil sumber besar.

“Tetapi, isu bencana alam dan risiko perubahan iklim akan terus menjadi teras dalam Belanjawan 2026,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Menurut beliau, kerajaan dijangkakan terus memperuntukkan dana buat projek-projek mitigasi banjir, memandangkan perubahan iklim telah menyebabkan taburan hujan tidak menentu serta meningkatkan risiko banjir kilat.

“Perubahan cuaca yang semakin ketara menuntut kerajaan menyiapkan projek-projek untuk membanteras risiko banjir kilat.

“Ia akan kekal sebagai antara agenda utama dalam Belanjawan 2026,” jelasnya.

Selain itu, Dr Afzanizam meramalkan dasar pengurangan karbon dan galakan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar turut akan diketengahkan oleh kerajaan.

Dengan itu katanya, kerajaan mungkin memperkenalkan semula atau memperluas insentif cukai bagi kenderaan elektrik (EV) serta tenaga hijau sebagai langkah mengurangkan ‘karbon footprint’ rakyat dan syarikat tempatan.

Ketika ditanya mengenai ‘elemen wow’ dalam Belanjawan 2026, Dr Afzanizam berpandangan fokus kerajaan pada kali ini akan tertumpu kepada peningkatan bantuan tunai dan kebajikan rakyat, terutamanya buat golongan B40 dan M40.

Beliau menjelaskan, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion pada 2025, dan tidak mustahil angka itu akan terus bertambah tahun depan.

Menurutnya, langkah konsolidasi fiskal yang sedang dilaksanakan kerajaan seperti peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi dijangka meningkatkan hasil kerajaan, sekali gus memberi ruang menambah bantuan kepada golongan layak.

“Saya rasa elemen terkejut itu nanti mungkin pada jumlah peruntukan bantuan rakyat yang lebih besar berbanding tahun ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif MySARA, beliau menjangkakan bantuan itu akan diteruskan namun dengan pendekatan lebih bersasar berdasarkan kategori pendapatan rakyat.

“Saya rasa lebih kepada mereka yang layak.

“Golongan pendapatan rendah dan menengah yang benar-benar memerlukan akan terus dibantu,” kata beliau.

Beliau turut memuji keberkesanan penggunaan MyKad dalam penyaluran bantuan seperti SARA dan Budi Madani Ron 95 atau BUDI95, yang menurutnya membolehkan kerajaan menjejak penggunaan bantuan serta menambah baik penyasaran subsidi secara berperingkat.

Tegas beliau, selain bantuan tunai, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada peningkatan infrastruktur asas seperti jalan raya, sekolah dan hospital.

“Kita lihat banyak kemalangan jalan raya, seperti yang menimpa pelajar UPSI baru-baru ini.

“Keadaan jalan raya yang rosak atau tidak diselenggara boleh membawa risiko besar,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, peruntukan tambahan kepada Kementerian Pengangkutan perlu diberi untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya yang berterusan, yang menurutnya penting untuk keselamatan dan kelancaran ekonomi negara.

“Penyelenggaraan infrastruktur ini ibarat maraton, perlu dibuat secara berterusan.

“Jika tidak, ia akan menimbulkan kesusahan rakyat dan kerugian jangka panjang,” tambahnya.

Beliau turut meramalkan peruntukan keseluruhan Belanjawan 2026 akan meningkat berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang positif.

“Ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar 4.4 peratus tahun ini dengan kadar pengangguran rendah sekitar 3 peratus.

“Ini menunjukkan ekonomi berada pada tahap guna tenaga penuh,” jelas beliau.

Katanya, kedudukan fiskal kerajaan yang lebih kukuh hasil pelaksanaan dasar konsolidasi membolehkan peruntukan ditambah, bukan sahaja untuk bantuan rakyat, tetapi juga pembangunan prasarana negara.

“Dengan hasil yang meningkat, ruang kerajaan untuk memperluas bantuan dan memperkukuh ekonomi rakyat semakin besar,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat