Elite Gegar Kembali Pentas! Konsert 30 Tahun Bertema ‘Catwalk’

Oleh: Alyaa Azmi

SETELAH tiga dekad menjadi ikon pop wanita tanah air, kumpulan Elite bakal kembali memukau peminat menerusi konsert ulang tahun ke-30 yang dijangka berlangsung penuh gaya dan kenangan pada 20 September 2025 di Plenary Hall, KLCC.

Dengan tema glamor ‘Catwalk’, konsert ini bukan sekadar persembahan tetapi ia adalah ‘runway’ kenangan yang meraikan muzik, persahabatan dan pesona era 90-an yang masih segar di hati ramai.

Menurut penerbit konsert, Iman Tang, inspirasi penganjuran tercetus daripada kejayaan konsert KRU dan K.I.U baru-baru ini.

“Kami tak nak bersaing siapa lebih hebat.

“Tujuannya hanya satu, raikan semula semangat hiburan era 90-an dan penuhi permintaan peminat setia,” katanya dalam sidang media di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Barisan asal Linda Rafar, Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali dan Azza Zawari kini bersatu kembali, giat berlatih dan menyusun koreografi agar persembahan nanti benar-benar ‘padu’.

Dengan senarai lagu antara 15 hingga 20 buah, konsert ini turut menampilkan lagu-lagu yang jarang dipersembahkan secara langsung sebelum ini.

“Ini peluang untuk kami bawakan lagu-lagu ‘underrated’ yang dulu mungkin ramai tak sempat dengar atas pentas.

“Kali ini, semua akan diberi nafas baru,” ujar Sasha.

“Kami tak pernah bayangkan akan kembali bersama atas pentas selepas hampir 30 tahun.

“Tapi bila peluang ini datang, kami tahu inilah masa terbaik untuk ‘comeback’ dan hadiahkan sesuatu yang istimewa untuk peminat,” tambah Azza dengan penuh semangat.

Tiket Dijual Bermula 26 Jun

Peminat setia boleh mendapatkan tiket bermula Khamis, 26 Jun pukul 2 petang melalui laman rasmi Ticket2U.

Empat kategori tiket ditawarkan:

  • GIG – RM1088 (termasuk meet & greet serta hidangan ringan) – terhad hanya 70 tempat duduk
  • Manisnya Senyumanmu – RM588
  • Catwalk – RM268
  • Tamparan Wanita – RM268

Untuk pengalaman lebih dekat dan eksklusif bersama Elite, kategori GIG adalah pilihan utama.

Tambah menarik, peminat turut digalakkan hadir dengan gaya ‘Catwalk’ bertemakan era 90-an kerana malam itu bukan sekadar konsert tapi perarakan semula kenangan penuh warna-warni zaman kegemilangan Elite.

Anda Mungkin Berminat