Ella Kembali Ganding dengan Kyoji Yamamoto di Konsert Ella USA

GENTING HIGHLANDS: Selepas lebih tiga dekad, Ratu Rock Malaysia, Ella, kembali berpadu tenaga dengan gitaris legenda Jepun, Kyoji Yamamoto dalam konsert ulang tahun ke-30 album ikonik Ella USA, malam tadi.

Di hadapan lebih 4,200 peminat yang membanjiri Arena of Stars, Ella dan Yamamoto menghadiahkan sebuah persembahan istimewa termasuk lapan lagu ikonik seperti Esok Lusa Selamanya, Penawar dan Gemilang.

“Yamamoto memainkan peranan besar dalam pembikinan album Ella USA.

“Kami mula bekerjasama sejak 1992 dan menjelajah ke beberapa bandar di Jepun ketika mempromosikan album 30110,” kata Ella ketika menyapa penonton.

Yamamoto, yang baru tiba dari Hawaii sebelum singgah di Tokyo dan terus ke Genting, menerima sorakan gemuruh apabila mengucapkan “Apa khabar” sebaik sahaja diberikan mikrofon oleh Ella.

“Dua tahun selepas itu, kami ke Amerika Syarikat untuk hasilkan album Ella USA.

“Yamamoto dan Datuk M Nasir menjadi penerbit album itu,” tambah Ella, atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 59.

Konsert berdurasi dua jam itu turut disajikan dengan deretan lagu popular Ella seperti Layar Impian, Sembilu, Retak, Permata Biru, Standing in The Eyes of The World dan Kitalah Bintang.

Dilancarkan pada 1994, album Ella USA mencipta sejarah sebagai antara album artis wanita tempatan paling laris dan terus relevan hingga ke hari ini, membuktikan kehebatan muzik Ella yang tidak lapuk ditelan zaman.

Anda Mungkin Berminat