Elon Musk Tinggal Pentadbiran Trump Secara Mengejut

WASHINGTON: Hartawan teknologi Elon Musk mengundurkan diri dari pentadbiran Trump selepas usaha penstrukturan kerajaan baharu itu gagal mencapai matlamat yang dirancang.

Pegawai White House mengesahkan kepada Reuters pada malam Rabu bahawa Musk telah meninggalkan pentadbiran tersebut dan menyifatkan tindakan itu sebagai tepat dengan pemergiannya berkuat kuasa serta-merta.

Pada hari yang sama, Musk mengucapkan terima kasih kepada Presiden Donald Trump menerusi platform media sosialnya, X, sambil mengumumkan bahawa tugasnya sebagai pegawai khas kerajaan di Jabatan Kecekapan Amerika Syarikat (DOGE) hampir berakhir.

Terdapat spekulasi daripada sumber dalaman bahawa Musk tidak berkomunikasi secara langsung dengan Trump berkenaan keputusannya itu.

“Pemergiannya berlaku dengan pantas dan tanpa sebarang ucapan rasmi. Keputusan itu dibuat di peringkat kakitangan kanan,” kata sumber tersebut.

Menurut laporan Reuters, punca sebenar pengunduran Musk masih belum jelas.

Namun, ia berlaku sehari selepas beliau secara terbuka mengkritik Rang Undang-Undang Cukai Utama yang diperkenalkan Trump, menyifatkan polisi itu sebagai terlalu mahal dan berpotensi menjejaskan usaha beliau bersama jabatan DOGE.

Selain itu, sebelum pemergiannya, Musk dilaporkan terlibat dalam pertikaian peribadi dengan beberapa pegawai kabinet AS.

Beliau secara terbuka mengecam Penasihat Perdagangan White House, Peter Navarro, sebagai “bodoh” kerana menolak cadangannya untuk menetapkan tarif sifar antara AS dan Eropah.

Sebagai rekod, mandat Musk sebagai pegawai khas kerajaan selama 130 hari dijadualkan tamat sekitar 30 Mei.

Pihak pentadbiran menyatakan bahawa usaha DOGE untuk menyusun semula dan mengecilkan saiz kerajaan persekutuan akan tetap diteruskan walaupun tanpa kehadiran Musk.

Anda Mungkin Berminat