Elrah Exclusive ‘copy paste’ rekaan samping?

PETALING JAYA: Elrah Exclusive antara jenama baju Melayu popular yang tidak asing lagi untuk digayakan kaum lelaki di pagi raya dek kerana koleksi yang bergaya dan moden.

Namun, di penghujung Ramadan ini, ada cerita kurang enak dibongkarkan seorang pempengaruh terkenal berkaitan jenama baju Melayu itu.

Apa cerita ini Elrah?

Terbaharu, Tyra Kamaruzzaman di laman media sosialnya mendakwa bahawa Elrah telah meniru (plagiat) rekaan samping milik suaminya, Emran Rijal yang juga seorang pereka fesyen.

Tyra tidak hanya meluahkan sahaja, malah dia tampil dengan bukti-bukti lengkap menunjukkan rekaan tersebut adalah turun-temurun keluarga suaminya sejak tahun 1890.

“Untuk majlis akad nikah kami, Emran telah menjejaki semula rekaan tersebut untuk dijadikan samping nikah, tentunya dalam warna kegemarannya, ia telah dihasilkan penuh teliti menggunakan teknik tenun.

“Malangnya tahun ini, ada sebuah jenama besar yang telah meniru rekaan ini dan lebih menyedihkan, mereka 100 peratus menirunya sehingga ke pemilihan warna.

“Ketandusan idea adalah perkara biasa bila mencipta rekaan, kebetulan terinspirasi daripada motif sama juga perkara biasa.

“Tetapi, untuk meniru 100 peratus dari segi rekaan hingga ke warna samping, ini bukan satu kebetulan lagi. Ini adalah satu bentuk plagiat,” tegas Tyra.

Bagaimanapun, isu tersebut seperti dipandang ‘enteng’ pemilik Elrah iaitu El Azman apabila semua mesej yang dihantar oleh Emran kepadanya dibalas dengan pelbagai jenis alasan dan mahu mengelak daripada berbincang mengenainya.

“Emran sudah cuba untuk berhubung dengan pemilik (Elrah Exclusive) tetapi dia sering memberi bermacam-macam alasan untuk mengelak daripada bertemu.

“El Azman, bila nak balas mesej suami saya? Anda merupakan seorang pemilik jenama yang dikenali. Saya pasti anda mempunyai etika berniaga sejati,” catat Tyra sambil memuat naik beberapa tangkap layar perbualan mesej antara suaminya dan El Azman.

Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Elrah Exclusive berhubung isu tersebut.

Anda Mungkin Berminat