Elrah Exclusive nafi ciplak rekaan, pertahan motif keris sebagai identiti warisan

PETALING JAYA: Jenama fesyen ternama, Elrah Exclusive tampil menjawab dakwaan berani yang mengatakan mereka menciplak reka bentuk kain samping milik Emran Rijal, suami kepada pempengaruh popular, Tyra Kamaruzzaman.

Dalam satu kenyataan, Elrah Exclusive menegaskan bahawa motif keris adalah sebahagian daripada khazanah budaya nusantara dan bukan milik eksklusif mana-mana individu.

Menurut Elrah, individu terbabit turut menyentuh isu pendaftaran hak cipta reka bentuk pada tahun 2025, yang disifatkan sebagai tidak cukup kukuh untuk mendakwa pemilikan sejak berabad-abad lalu.

“Motif keris adalah simbol warisan budaya sejak zaman berzaman, jadi ia tidak seharusnya diikat kepada individu semata-mata,” jelas El Azman, wakil Elrah Exclusive.

Menambah lagi kehangatan, Elrah Exclusive berkata, koleksi mereka untuk Samping Raya 2025 adalah hasil kreativiti asli pasukan mereka, jauh daripada menjadi salinan mana-mana reka bentuk berdaftar.

“Selagi motif itu bukan tiruan tepat karya berhak cipta, tiada isu pelanggaran,” tambah kenyataan itu.

Namun, Elrah Exclusive tidak sekadar bertahan dengan penjelasan, apabila pihaknya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan yang tidak berasas jika ia menjejaskan nama baik serta kredibiliti jenama mereka.

Anda Mungkin Berminat